Beliau berkata, individu normal tidak akan bertindak ganas terhadap pasangannya termasuklah mereka yang berstatus kekasih atau bertunang walaupun berdepan pelbagai dugaan akibat tekanan dihadapi, sebaliknya menghadapinya dengan tenang.
“Kalau dilihat dalam senario berlaku, sudah menjadi kebiasaan kekasih bertindak ganas dan kejadian pukul memukul semakin berleluasa. Bila sesuatu perhubungan itu ada kejadian ‘angkat tangan’, maka orang seperti ini patut dijauhi.
“Sebab itu, kalau nak diteruskan juga perhubungan, memang anda sendiri menempah sengsara bukan saja di dunia, malah di akhirat Saya anggap ia sebagai penyakit barah (perbuatan ganas terhadap kekasih) dan tidak mudah diatasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian tragis menimpa seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ketika menghubungi ibu angkatnya selepas dipercayai dibakar teman lelakinya di kawasan semak berdekatan Seksyen 1, Wangsa Maju, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 3.15 pagi itu, mangsa yang keluar bersama teman lelakinya berusia 19 tahun itu disimbah petrol sebelum dibakar menyebabkannya terbakar lebih 25 peratus dari muka hingga ke pusatnya dan dilaporkan kritikal.
Mengulas lanjut, Mat Zaki berkata, teman lelaki anaknya itu terkenal dengan sikap panas baran dan kuat cemburu, malah pernah beberapa kali memukul mangsa hingga lebam sepanjang percintaan merekaselama setahun setengah.
“Kalau masa bercinta sudah menunjukkan belang inikan pula selepas perkahwinan,” katanya.
Menurutnya, Islam menganjurkan setiap umatnya memilih pasangan dengan memenuhi empat kriteria utama termasuk kecantikan, keluarga baik (keturunan), kekayaan (harta) dan agamanya.
“Empat kriteria itulah yang dipesan Nabi Muhammad dan menjadi asas sebelum mendirikan rumah tangga. Pada masa sama, kita juga perlu mencari pasangan yang dapat memahami dan menerima diri kita seadanya, selain mampu bertolak ansur.
“Manusia Allah jadikan pasangannya berlainan perwatakan untuk kedua-duanya saling lengkap melengkapi. Kalau orang tergesa-gesa, pasangannya orang yang sabar. Pasangan yang suka buat sepah mendapat jodoh yang pandai kemas,” katanya.
Beliau berkata, pasangan yang bahagia adalah pasangan yang mendapat reda kedua ibu bapa, sebaliknya pelbagai masalah akan dihadapi sekiranya mereka tidak mendapat restu kedua-duanya termasuk menempah masalah dunia dan akhirat.
“Didapati 80 peratus pasangan yang tidak mendapat reda kedua ibu bapa mudah bercerai berai, manakala 20 peratus pasangan yang tidak mendapat restu ibu bapa kerana bukan kriteria pilihan atau bukan calon disukai,” katanya.